Monday, January 21, 2013

ACAR BUAH

14 Januari 2013 (Isnin)


Semalam buat acar buah untuk cik abang. Dah lama dia duk suruh buat. Katanya, kek yg susah-susah tu sanggup cari resepi belajar nak buat, tapi acar buah yang senang tu, tak plak buat-buat.
Senang katanya.... Tapi bila tengok resepi kat internet, ada yang kata kena masak sampai 2 jam. Senang ke macam tu??
Tapi bila dah kehendak suami tu, kenalah buat... Bukannya tak boleh beli, tapi nak merasa air tangan isteri katanya. Kesian pulak, duk teringin nak makan. Takut kempunan acar buah hasil tangan isteri pulak. Kenalah buat jugak...
Pergi Gaint Bangi Sabtu lepas, belilah buah-buahan kering sikit. Kebetulan kat rumah dah ada kismis lebihan buat puding roti hari tu.
Resepi ni dah ambik kat internet, tapi tak pasti dari blog mana satu...

Ok, bahan-bahannya...
  1. 1/2 kg buah-buahan jeruk @ kering                                              [limau kecut, kismis hitam/kuning, prune, aprikot, kurma, mangga jeruk, ceri & lobak asin - boleh campur-campur buah tu. Mana yang suka, boleh letak banyak skit. Kalau buah tu rasa macam besar sangat boleh potong kecil-kecil skit, tapi jangan kecil sangat, nanti hancur plak masa masak tu, tak cantik plak nanti]
  2. 10-15 Biji Bawang merah / 3 biji bawang besar
  3. 10 biji bawang putih
  4. 3 sudu cili boh / 15biji cili kering (rendam dgn air panas bagi lembut) - cili ni kalau suka pedas boleh letak banyak sikit
  5. 2 inci halia / 2 ruas jari  (bergantung kepada saiz halia)
  6. 4 sudu besar gula - kalau suka manis, boleh tambah
  7. 1 sudu teh garam- kalau suka lebih/kurang masin, boleh adjust sendiri.
  8. 1 sk asam jawa (guna asam jawa ADABI)
  9. Setengah cawan cuka- kalau tak suka boleh kurangkan, atau takyah letak langsung, cuma lebihkan asam jawa tadi. [cuma kalau banyak asam jawa, nanti rupa acar buah hitam skit bila masak nanti. Tak berapa cantiklah rupanya, tapi rasa tetap sama]
  10. 2 sudu besar rempah kari daging 
  11. Bijan goreng tanpa minyak sebagai hiasan
  12. 1 cawan minyak masak(kalau rasa tak cukup, boleh tambah nanti)


Cara-cara
  1. Mesin sekali cili, bawang merah/besar, bawang putih dan halia dengan sedikit air.
  2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan mesin sampai naik bau dan naik minyak.
  3. Tambahkan serbuk kari daging semasa menumis.
  4. Masukkan gula, garam, asam jawa dan cuka, tumis lagi sehingga naik minyak.
  5. Masukan buah-buahan kering dan kacau masak sampai pekat [nak tunggu pekat tu lama jugak, bergantung pada dapur masing-masing. Api jangan kuat sangat, takut bahagian bawah tu hangus. Kena kacau selalu sampai kering]

Catatan:
Bila hasil tumisan tu dah naik minyak dan dah masukkan buah-buahan kering, jangan sesekali tambahkan air. Kalau rasa macam nak hangus tu, perlahankan api dan kacau rata-rata (kalau tambah air, nanti acar buah tu tak tahan lama)
Bijan yang nak ditabur tu, goreng tanpa minyak dengan api yang perlahan. Taburkan bijan bila acar buah dah agak-agak sejuk sikit.
Acar buah ni, memang ada banyak minyak, sebab nanti minyak tu yang membuatkan ia tahan lama. Cuma nanti bila makan, janganlah ambik minyak tu, kaup buah-buahnya je...

Hasilnya.... siap jugaklah acar buah hasil permintaan suami ni. Walaupun ambik masa yang agak lama nak masak, tapi bila cik abang kata sedap, rasa berbaloi je masak... puas hati....

Cucur Bawang yg sgt Simple...

13 Januari 2013,

Cucur bawang untuk minum petang. Tak tahu nak masak apa, tekak pulak macam teringin je nak makan cucur bilis, tapi anak-anak tak suka bila letak ikan bilis, rasa keras susah diorang nak kunyah.
Sudahnya, tak letak la ikan bilis tu. Tapi nak bagi rasa ikan bilis, letak la serbuk pati ikan bilis je, guna jenama maggi. Sedap jugak, terasa bilisnya..... 


Nak kongsi resepi....

Bahan-bahan,
1) Tepung gandum - 2 cawan
2) Bawang besar sebiji - potong dadu
3) 1 sudu kecil serbuk ikan bilis - bancuh dengan air
4) Air secukupnya
5) Garam (setengah sudu kecil)
6) 1 sudu kecil minyak masak (petua untuk bagi rangup dan lembut cucur tu nanti, biar pun dah sejuk)

Cara-caranyer,

1)  Campurkan tepung dan bawang besar - gaul sekata

2)  Masukkan bancuhan air ikan bilis, garam dan minyak. Gaul bagi sebati.
3)  Tambahkan air sedikit demi sedikit, sehingga adunan likat. Jangan terlebih air, nanti adunan cair, susah pulak nak masukkan dalam kuali masa nak goreng nanti.
4)  Panaskan minyak dan menggunakan sudu, ambik adunan dan masukkan dalam kuali. 
5)  Tunggu hingga ia sedikit kekuningan, angkat dan toskan.

Siap dihidang. Sedap dicicah dengan sos cili thai.

Monday, January 7, 2013

AYAM MASAK KUNYIT & SAMBAL KUPANG

6 Januari 2013 (Ahad)

Hari cuti, duk rumah boleh masak-masak skit. Simple je....
Kebetulan semalam keluar pergi Dengkil, ambik gambar pasport Hafiz.... untuk fail sekolah dia. Kat simpang dekat dengan traffic light nak masuk Dengkil tu, ada orang jual kupang segar. Selalunya lalu kat situ tengok je orang duk jual, terlintas nak singgah tapi tak singgah2 jugak.
Semalam, tercapai la hasrat nak beli. RM 20 untuk 3 kg, kira ok la harganyer......
Balik tu terus rebus dengan serai. Takyah letak air pun. Masukkan kupang dalam periuk, letak serai... then rebus je... Sebahagiannyer dah buat masak spagetti olio semalam, sebahagian lagi simpan untuk masak hari ni. So... inilah hidangan tengah hari kami sekeluarga hari ni....  Ayam masak kunyit, sayur skit dan sambal kupang....


Nak tulis jugak resepinyer kat sini, utk rujukan masa depan.... kot-kot la lupa... Tau je la... tua-tua ni karang, nyanyuk plak...


AYAM MASAK KUNYIT
Resepi yang masak mudah...

Bahan-bahan,
1) Ayam setengah ekor
2) Sebiji bawang besar - hiris kecil-kecil
3) 4 ulas bawang putih - ketuk je
4) 1 inci halia
5) Kunyit (serbuk atau tumbuk kunyit hidup sampai lumat)
6) Minyak masak
7) Garam dan perasa secukup rasa

Cara memasaknya,
1) Cuci ayam bersih-bersih, buang lemak-lemak dan kulit yang melekat pada ayam.
2) Masukkan ayam dalam kuali dan tambahkan air hingga tenggelam semua ayam.
3) Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia, then rebus sampai airnya hampir kering.
4) Bila air dah dekat-dekat nak kering, masukkan minyak masak dalam 3 sudu besar. Kacau rata.
5) Masukkan kunyit, kacau sebati.
6) Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
Siap dihidang.....


SAMBAL KUPANG

Resepinya.....
Bahan-bahan
1) Kupang (direbus tanpa air dengan serai dan dibuang kulitnya)
2) 2 biji bawang besar
3) 4 ulas bawang putih
4) Halia 
5) Cili kering (rendam dan buang biji)
6) Air asam jawa 
6) Sos tiram
7) Kicap
8) Garam secukup rasa

Cara-caranyer....
1)  Kisar bawang besar, bawang putih, halia dan cili kering sampai lumat.
2) Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan-bahan yang dikisar sampai naik minyak.
3)  Masukkan kupang. Gaul sebati.
4)  Masukkan air asam jawa, sos tiram dan kicap secukupnya.
5)  Kacau sebati dan biarkan ia mendidih sehingga sambalnya sedikit kering.
SIAP!

Sedap dimakan dengan nasi panas-panas.    


  

Friday, January 4, 2013

APAM MEKAR YG GEBU

4 Januari 2013,
Permulaan tahun baru... kejap je rasa tahun bertukar.... anak-anak makin besar, kita pun makin tua. Itulah lumrah kehidupan, setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya....
Semalam buat apam mekar lagi... Tak ingat dah mana ambik resepi apam ni. Apam mekar ni, macam-macam resepinyer, tapi rasanye yang ini paling mudah dan pasti jadi. First time buat dulu, terus jadi. Mekar dan gebu elok je.
Anak-anak suka rasa strawberry, jadi resepi apam ni guna perisa strawberry dan pewarna pink. Ikut citarasa masing-masing sebenarnya. Nak buat banyak-banyak color, then campur-campur colornyer pun takpe... macam resepi-resepi yang lain tu... yang penting adunan bahan-bahannya betul dan menjadi mekar dan gebunya...




Resepi ini untuk jumlah yang skit je... kira-kira boleh dapat dalam 10 ke 12 biji je... sesuai la untuk family kami yang kecik ni... banyak-banyak kan, tak abih plak....

Bahan-bahan;
1)  150 g tepung gandum / tepung superfine + 1sk baking powder ---- pastikan diayak sekali
2)  120 g gula halus / kastor (kalau tak suka manis, kurangkan jadi 100 g je)
3)  1 biji telur gred A (asingkan putih ngan kuningnyer)
4)  1 sk ovalette
5)  1 sk strawberry emulco (boleh guna jenama nona)
6)  skit pewarna pink / merah
7)  100 ml air karbonate perisa strawberry (boleh guna perisa soda tu kalau tak nak guna yg ada perisa)

Cara-caranya;
1)  Panaskan dulu air kukusan. Kemudian, get ready dengan atur paper cup dalam acuan kuih lompang siap-siap.
2)  Campurkan putih telur dengan gula halus, pukul dengan mixer guna kelajuan maksimum hingga jadi betul-betul kental (bila terbalikkan bekas tu, adunan tak jatuh, maknanye kental la tu).
3) Bila adunan putih telur + gula dah betul-betul kental, masukkan kuning telur dan pukul lagi bagi sebati (kejap je)
4)  Masukkan ovalette, strawberry emulco dan perwarna.... kacau sebati...
5)  Masukkan satu pertiga tepung ke dalam adunan dan pukul dengan mixer guna tahap kelajuan yang paling rendah. Pastikan tepung yang melekat di tepi-tepi bekas adunan dikaup sekali-sekala untuk pastikan semua tepung dikacau sebati)
6)  Kemudian, masukkan sedikit air karbonat tadi dan gaul sebati. Ulang masukkan tepung dan air secara berselang-seli (sekurang-kurangnya tepung tu dibahagikan 3 bahagian, maksudnya masukkan tepung, kemudian air... tepung lagi, pastu air... dan masukkan tepung untuk kali terakhir, then air) Pukul sampai sebati. Jangan pukul lama-lama sangat bila masukkan tepung ni, nanti apam jadi kurang gebu...
7) Dengan cepat masukkan adunan dalam paper cup (yang berada dalam acuan kuih lompang) dan kukus dalam kukusan dengan api yang kuat dan pastikan air dah mendidih. Masak untuk tempoh masa 4-5 minit / hingga apam pecah dan menjadi mekar macam kat gambar di atas.

Siap.... sedia dihidang......