Sunday, December 30, 2012

Asthma lagi

31 hb 12, 2012
Hafiz kena asma lagi.... 

Semalam kontraktor, En Halim datang betulkan bumbung depan rumah tu. Hafiz plak punyer la tak duk diam, keluar masuk duk tengok orang tu buat kerja. Dengan hujan, habuk, asap kat luar tu... semua kena Hafiz. Malam tadi, apa lagi.... kena asma la....
Pagi-pagi ni dah kena bawak gi klinik, sedut asap...

Sedikit info mengenai asma;


Penyakit asma (asthma) atau biasanya dikenali sebagai semput atau lelah, merupakan sejenis penyakit paru-paru yang terjadi akibat radang dan penguncupan saluran pernafasan. Sesiapa yang mengalami penyakit asma akan menunjukkan beberapa tanda atau gejala tertentu. Di antaranya, pernafasan yang berbunyi seolah-olah orang bersiul, terutama sekali apabila pesakit itu bernafas. Ini dikenali sebagai "wiz" yang kedengaran secara berulang-ulang. Namun ada juga yang tidak mengalami "wiz", tetapi akan mengalami batuk-batuk terutamanya di waktu malam atau selepas melakukan latihan fizikal yang lasak /aktif. Selain itu, pengidap asma juga akan mengadu sesak nafas / sukar bernafas dan ketat dada.

Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah alahan, walaupun tidak semua pesakit asma mempunyai masalah ini. Alahan dipercayai dapat meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mendapat serangan asma. Di kalangan pesakit asma dianggarkan lebih kurang 80 peratus kanak-kanak dan 50 peratus orang dewasa mengalami masalah alahan. Selain itu, pesakit asma yang mempunyai masalah alahan lebih mudah mengalami serangan asma apabila terdedah kepada bahan pencetus asma yang tidak mempunyai sifat alahan terhadap jangkitan virus. 

Serangan asma yang dialami tidak semestinya sama bagi setiap individu. Ada yang hanya mengalami sedikit rasa sesak nafas manakala yang lain mungkin mengalami sesak nafas yang teruk setiap hari. Segelintir pesakit asma mengalaminya dalam masa yang singkat manakala ada pula yang mengalami secara berterusan untuk tmepoh masa yang lama. Selain itu ada pesakit yang akan mengalami keadaan yang mencemaskan dimana sukar untuk bernafas manakala yang lain hanya mengalami sedikit gangguan keselesaan untuk bernafas.


Bagaimana Asma Berlaku

Punca sebenar terjadinya asma atau siap yang akan menghidap penyakit ini tidak dapat dipastikan. Namun begitu, apa yang jelas ialah, serangan asma berlaku apabila terdapat perubahan di dalam saluran pernafasan. Perubahan yang dimaksudkan adalah inflamasi atau bengkak yang seterusnya mengakibatkan saluran pernafasan menguncup dan pesakit akan mengalami kesukaran untuk bernafas.

Perubahan Yang Berlaku Dalam Penyakit Asma

Inflamasi Tiub dalam saluran pernafasan mudah mengalami iritasi, menjadi bengkak dan kelihatan merah. Seterusnya lendir yang pekat akan dihasilkan dan menyumbatkan saluran pernafasan. Pesakit akan mula batuk apabila dia cuba untuk mengosongkan saluran pernafasan yang tersumbat ini. Sekiranya inflamasi kerap berlaku dan keadaannya teruk, tisu saluran pernafasan akan menebal secara kekal. Ini menyebabkan pesakit lebih sukar bernafas.


Kuncup: Otot yang mengelilingi saluran pernafasan mungkin menguncup dan menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. Keadaan ini dinamakan bronkospasme atau bronkokonstriksi. Pesakit akan berasa dadanya ketat.

Kepekaan: Saluran pernafasan amat peka terhadap pendedahan kepada benda- benda luaran seperti habuk, asap rokok, atau udara sejuk.

Bilakah Asma Disyaki Berlaku?

Asma disyaki berlaku apabila seseorang individu mengalami "wiz" secara berulang -ulang, terutama sekali semasa menghembus nafas, batuk kronik atau didapati berulangkali mengalami bronkitis.


Apakah Yang Boleh Dilakukan Bagi Membantu Pesakit Asma?

Pendekatan yang sering diambil dalam rawatan asma adalah untuk mengubah semula perubahan yang sering berlaku pada pesakit, iaitu inflamasi, penguncupan dan kepekaan saluran pernafasan.

Bagi mencapai tujuan ini, pesakit asma perlu menghindari punca-punca yang boleh menyebabkan asma seperti habuk, asap rokok, bulu haiwan seperti kucing/anjing dan sebagainya. Selain itu pesakit juga boleh menggunakan ubat-ubatan pencegahan seperti kotikosteroid, kromolin dan ketotifen serta terapi imun alahan.

Langkah kedua adalah dengan menggunakan ubat-ubatan bronkodilator iaitu ubat yang berupaya mengembangkan saluran pernafasan dan melegakan pernafasan pesakit dengan cepat seperti teofilin (yang mempunyai sifat kafein), agonis beta dan ipratropium.

Ubat-ubat begini sesuai digunakan apabila serangan asma telah berlaku. Dalam kebanyakan kes, ia berkesan untuk mengawal keadaan pesakit melainkan asma sudah menjadi terlalu serius di mana pesakit perlu menerima rawatan yang lebih rapi di hospital seperti kortikosteroid dalam bentuk suntikan serta terapi oksigen dengan bantuan alat pernafasan tertentu.

 
Dalam menentukan rawatan yang sesuai, perlu diingatkan bahawa asma merupakan suatu penyakit cepat berubah dan mungkin akan menjadi lebih buruk dengan perubahan persekitaran, seperti perubahan cuaca atau musim, atau dengan jangkitan virus. Dalam hal demikian, setiap pesakit asma dianggap unik dan rawatan yang diterima mungkin berbagai-bagai bergantung kepada keadaan masing- masing.

No comments:

Post a Comment