Bila aku bangkit dari katil dan berdiri, makin banyak air yang keluar tanpa dapat ditahan. Yang sedikit mengusarkan, air yang keluar berwarna merah, seperti bercampur dengan darah. Rasa sakit seperti sakit senggugut mula terasa. Mungkin inilah yang dikatakan sakit contraction nak bersalin.
Aku minta suami telefon hospital Putrajaya untuk menanyakan jika ada kekosongan wad untuk bersalin. Mendengar penjelasan suami yang menunjukkan keadaan aku yang mungkin sudah hampir untuk bersalin, jururawat meminta suami membawa aku segera ke hospital.
Aku segera bersiap untuk ke hospital dan mengejutkan anak aku, Mohd Hafiz Haikal (5 tahun) yang sedang nyenyak tidur untuk bersama ke hospital, memandangkan tiada siapa yang akan menjaga dia di rumah. Sukar untuk mengejutkan dia memandangkan jam baru 2.30 pagi. Dalam keadaan mamai Hafiz bangun sambil tertanya-tanya nak pergi ke mana melihatkan aku bertudung dan abahnya sedang bersiap-siap.
Dalam kegelapan dan kedinginan pagi, aku, suami dan Hafiz segera ke Hospital Putrajaya. Tak sampai 15 minit, kami sampai ke hospital. Aku segera diminta masuk ke bilik khas untuk dilakukan pemeriksaan. Suami dan Hafiz diminta menunggu di luar.
Aku dibaringkan dikatil dan dipasangkan alat khas untuk mengukur kadar denyutan jantung baby. Seketika aku dipantau jururawat yang melihat kadar denyutan baby untuk memastikan baby dalam kandungan aku selamat dan berada ditahap normal. Hampir 15 minit kemudian, datang seorang doktor wanita yang menanyakan beberapa soalan pada aku. Pukul berapa pecah air ketuban? Warna apa? Rasa sakit selang berapa lama? Anak yang ke berapa? Dan beberapa soalan lagi.
Kemudian dia memberitahu untuk memeriksa alat sulit aku untuk memastikan tahap bukaan rahim. Terasa sesuatu memasukki alat sulit aku... sakit dan aku diminta bernafas dengan mulut, menarik nafas dalam-dalam dan tahan. Bukaan baru 1.5 cm. Masih terlalu awal (bukaan untuk tahap sedia bersalin adalah 8 - 10 cm).
Aku terus diminta berbaring dan dipantau kadar denyutan jantung baby. Sesekali aku diminta mengiring ke kiri atau ke kanan. Hampir sejam aku dibilik tersebut, aku diberitahu yang kadar denyutan baby aku normal tapi masalahnya tiada sebarang pergerakkan yang dilakukannya. Baby aku dikatakan 'tidur' dan aku diminta mengiring ke kiri dan seketika kemudian ke kanan dengan harapan baby aku akan terjaga dan memberikan sebarang pergerakkan.
Jam 4 pagi aku diminta ke bilik lain. Di bilik itu aku diminta menanggalkan semua pakaian aku dan memakai baju hospital yang berwarna pink. Aku disuruh berbaring dan kemudian dipasangkan semula alat untuk mengukur kadar denyutan jantung baby. Seketika kemudian, suami aku dibenarkan masuk untuk menemani aku. Rupanya bilik tersebut adalah bilik/wad bersalin.
Suami bagi tahu yang Hafiz sedang bersama makciknya (mak saudara dia) di luar. Alhamdulillah, ada orang untuk tengok-tengokkan dia.
Rasa sakit contraction mula dirasakan selang 15 minit dan semakin lama menjadi semakin kuat/sakit. Aku diminta menyedut gas yang terdapat ditepi katil bagi mengurangkan rasa sakit. Untuk melegakan rasa sakit yang teramat sangat, aku perlu menyedut gas tersebut dengan kuat melalui mulut dan tahan seketika.
Suami yang berada disisi aku tak putus-putus cuba menenangkan aku dan memberi sokongan untuk aku terus bertahan. Ayat-ayat suci Al-Quran tak putus-putus dari mulutnya dengan harapan dapat menenangkan aku. Seketika aku bersyukur yang amat, suami berada disisi aku ketika itu, bersama mengharungi kesusahan dan kesakitan yang sedang aku lalui.
Bila doktor datang memeriksa tahap bukaan rahim, aku diberitahu baru 2.5 cm, sedangkan tahap contraction aku dah tinggi (kuat&sakit). Memandangkan bukaan rahim yang rendah dan baby aku yang tak menunjukkan sebarang pergerakan (walaupun denyutan jantungnya normal) aku diberitahu, sekiranya bukaan rahim tidak mencecah 8 cm menjelang 8 pagi, kemungkinan besar aku akan dibedah (cesarean).
Dalam pukul 5 pagi aku diberikan suntikan ubat penahan sakit bagi mengurangkan rasa sakit yang teramat sangat. Seketika aku rasa sedikit lega dan mula melelapkan mata.
Jam 6 pagi, melihatkan aku yang mula sedikit tenang, suami meminta untuk keluar sebentar bagi sembahyang subuh. Hampir setengah jam kemudian, suami kembali bersama aku.
Jam 7 pagi, sakit contraction mula dirasai semula dan rasanya teramat sakit. Berkali-kali aku menyedut gas bagi menghilangkan rasa sakit, tapi ia cuma hanya sedikit melegakan bukan mengurangkan rasa sakit yang aku alami. Rasa sakit semakin kerap, selang 3-4 minit. Bukaan rahim masih terlalu kecil. Kemungkinan aku akan di'operate' adalah besar.
Pukul 8 pagi, aku mula dikunjungi oleh doktor-doktor (yang kelihatannya amat 'muda' - mungkin baru lepasan universiti). Aku diberitahu yang doktor akan membantu untuk 'membuka jalan' bagi rahim untuk membolehkan baby keluar. Mulanya tidak berjaya tapi kesakitan yang dirasai sukar dilafazkan dengan kata-kata (hanya Tuhan yang tahu).
Kemudian seorang doktor lelaki datang dan entah apa yang dilakukannya, dengan 'sentuhan majiknya' tiba-tiba bukaan rahim menjadi besar dan kedengaran mereka mengatakan kepala baby dah kelihatan. Aku mula terasa ingin meneran.
Tempat meletak kaki terus dipasang di kiri dan kanan katil dan kaki aku diangkat untuk diletakkan di atasnya. Aku dikelilingi 4 orang doktor (3 wanita dan 1 lelaki) dan 3 jururawat. Keadaan menjadi sedikit panik. Apa yang aku dengar hanya kata-kata sokongan dari suami dan juga doktor yang meminta aku kuatkan semangat dan terus meneran sekuat hati.
Seketika aku diberitahu kepala baby dah keluar dan aku diminta terus meneran untuk membolehkan bahu baby lepas keluar. Seterusnya kedengaran tangisan kecil sibaby. Alhamdulillah.... Terasa lega yang amat bila mendengar tangisan itu. Kedengaran ucapan tahniah dan aku diberitahu aku mendapat baby girl.
Baby diangkat dan diletakkan di atas perut aku. Kemudiannya, jururawat mengambil baby aku untuk dibersihkan.
Kemudiannya, suami aku diminta meninggalkan aku seketika. Seterusnya, uri dikeluarkan dan bahagian luka perlu dijahit. Walaupun sudah dibius, tapi rasa sakit semasa dijahit masih dapat dirasa. Hampir 45 minit aku dijahit, satu tempoh masa yang dirasakan sangat lama dan menyakitkan.
Selesai dibersihkan dan dipakaikan baju serta dibalut, baby diletakkan disebelah aku dan jururawat meminta aku untuk menyusukannya. Melihat wajah si kecil yang begitu tenang, hati aku menjadi sangat lapang dan bersyukur kepada Illahi atas kurnia-Nya yang tak terhingga.
Suami aku dibenarkan masuk semula untuk menemani aku. Sesungguhnya aku amat bertuah kerana sepanjang aku melalui proses bersalin ini, suami sentiasa berada di sisi aku. Suami mengazankan si kecil dan melafaz beberapa ayat suci di telinganya.
Lega segalanya berakhir dengan selamat. Alhamdulillah....
Wajah si kecil tersayang
My baby girl....
26 hb Januari 2011
No comments:
Post a Comment